PERKONGSIAN KENAPA SAYA MEMELUK ISLAM

Kesangsian terhadap agama anutan membuatkan hatiku sering gelisah dan tidak tenang. Semuanya bermula apabila saya terbaca sebuah buku tentang agama Islam iaitu AZAB NERAKA DAN AZAB KUBUR. Tanpa disedari, kesan daripada buku tersebut telah membuat hati dan minda sayauntuk memikirkan kembali kebenaran agama yang anutan kami sekeluarga.

Selepas memeluk agama Islam pada 23 September, 2000, saya menukar nama kepada Nor Hayati Nia Ellen Binti Abdullah. Saya berasal daripada golongan keluarga yang kuat pada pegangan agama Kristian Seventh-Day Adventist (SDA) di Sabah. Malahan kebanyakan ahli keluarga saya merupakan penganut Kristian yang aktif dalam menjalankan aktiviti keagamaan. Semasa mendiang ayah masih hidup, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Gereja. Kini jawatan tersebut disandang oleh abang saya yang ketiga.

Saya sendiri bekas penuntut sekolah mubaligh agama Kristian SDA di Seventh-Day Adventist Secondary School Tamparuli, Sabah. Walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar kerana bersekolah swasta namun keluarga tetap tekad menghantar saya di situ semata-mata supaya saya lebih menjurus kepada bidang keagamaan.

Agama Kristian sendiri mempunyai banyak mazhab yang terdiri daripada penganut Kristian RC, GYB, Basel, Prostestan dan bermacam-macam lagi. agama Kristian SDA adalah salah satu agama Kristian yang mengharamkan penganutnya makan daging khinzir dan makanan laut. Segala amalan tersebut diikuti tanpa keraguan sehinggalah apabila saya mengenali agama Islam.

Buku pertama mengenai ajaran Islam yang saya baca benar-benar menginggalkan kesan mendalam dalam diri. Buku berjudul azab Neraka Dan Azab Kubur benar-benar menimbulkan rasa takut dan keinsafan yang mendalam kepada diri saya. Tambah mengelirukan saya apabila ajaran tersebut amat bertentangan dengan ajaran dan kepercayaan agama asal, Kristian SDA.

Antara isi kandungan buku tersebut yang saya masih ingat hingga kini iaitu mengenai wujudnya seksaan kubur. Sementara dalam ajaran agama SDA mengatakan bahawa apabila matinya manusia maka tidurlah ia dengan aman sehingga tiba hari kebangkitan. Masa itu saya mula keliru dan tertanya-tanya pada diri sendiri, kenapa ajarannya tidak sama.

Dari situlah saya mula banyak mengkaji menenai ajaran agama Islam. Saya dapat konsep yang diguna pakai oleh ajaran agama SDA jelas menggambarkan penyekutuan terhadap Tuhan. Ia begitu ayat mengelirukan saya. Dalam Holy Bible turut menguatkan lagi kekeliruaanku yang mana di dalamnya dinyatakan satu aya, "Tuhan itu Esa". Akan tetapi wujud pula kenyataan "Allah bapa", "Allah anak", dan "Roh kudus" sedangkan sebelum ini kami percaya bahawa Tuhan Maha Berkuasa namun mengapa perlu ada tiga cabang untuk mentadbir alam semesta. Ternyata ajaran dan kepercayaan tersebut menyebabkan kesangsian yang mendalam dalam jiwa saya, seterusnya mula membuat perbandingan antara dua agama.

Kepercayaan kembali bertaut dan pencarian saya mula menemui titik noktah apabila ajaran agama Islam yang dikaji mempunyai garis panduan Al-Quran dan Hadis sebagai panduan hidup semua umatNya. Kepercayaan bahawa Allah itu Maha Esa. Tidak beranak dan tidak diperanakkan begitu berasas sekali. Dalil tersebut jelas membuktikan Allah Yang Maha Berkuasa mentadbir seluruh alam semesta ini tanpa kudrat daripada mana-mana makhlum lain.

Beberapa amalan yangmenjadi pegangan penganut Kristian SDA yang mengumpamakan air anggur tanpa alkohol sebagai darah Tuhan dan sekeping roti tidak beragi pula adalah tubuh Tuhan begitu memusykilkan saya. Persoalan yang sering bermain di minda, mengapa Tuhan yang disembah dan diagung-agungkan dimakan dan diminum serta mengapa menyamakan Tuhan dengan bentuk lain.

Walau baik sekalipun amalan seseorang itu namun jika dia tidak beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad s.a.w, neraka tetap kekal baginya. Oleh sebab itulah saya tidak teragak-agak mengambil keputusan memeluk agama Islam.

Bagaimanapun saya mengakui memilih satu agama yang kekal sebagai anutan bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main. Ini kerana keputusan itulah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia di akhirat kelak. memikirkan bahawa agama Islam satu-satunya agama yang benar di sisi Allah SWT, maka keputusan saya untuk memeluk agama Islam berlaku dengan kerelaan hati tanpa paksaan daripada sesiapa.

Walaupun selepas itu, saya berdepan dengan tentangan dan kemarahan daripada keluarga yang terkenal sebagai penganut agama Kristian SDA yang setia namun saya tetap teguh dengan pendirian terhadap agama Islam yang dipilih menjadi pegangan hidup. Oleh kerana saya bekerja di Johor sementara keluarga pula menetap di Sabah, maka kemarahan tersebut tidak berlaku di depan mata. Namun setiap kali pulang ke kampung, mereka pasti memujuk dan menasihati agar kembali ke agama asal. Malahan keluarga memulaukan sehingga saya berasa tersisih dan tidak dipedulikan.

Namun, kuasa Allah SWT tiada siapa yang dapat mengagaknya. Walaupun keluarga tidak berpuas hati dengan tindakan saya menukar agama namun berkat doa tana heti menyebabkan akhirnya keluarga dapat menerima saya seperti sedia kala.

Menuntut ilmu dan terus mendalami ajaran Islam menjadi misi utama saya sebaik melafazkan dua kalimah syahadah. Perasaan sebak dengan sendirinya timbul ketika itu membuahkan satu azam untuk mengabdikan diri sebagai hamba Islam yang sebenar kepada Pencipta-Nya. Kesyukuran tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah SWT kerana diberikan hidayah untuk mengenali dan mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup.

Alhamdulillah, selepas mengakui tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan nabi Muhammad s.a.w itu adalah pesuruh Allah, hati saya tidak lagi keliru dan terus tekad menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai pegangan hidup. Saya berazam ingin menimba ilmu sebanyak mungkin sebagai pedoman menuju kejayaan dunia dan akhirat.

Justeru saya mengikuti kelas Fardu Ain untuk saudara baru oleh Jabatan Agama Negeri Johor sejak awal penghijrahan. Saya amat berterima kasih kepada guru-guru yang banyak mengajar mendalami agama Islam. Walaupun pada awalnya, saya langsung tidak tahu membaca Al-Quran tetapi kini saya boleh membacanya dengan lancar. Bahkan saya sangat berminat untuk mempelajari ilmu Tajwid serta Ilmu Tarranum Al-Quran.

Sedikit perkongsian kenapa aku memeluk Islam.